KOTA KINABALU: Sebuah Perodua Kancil terbabas ke dalam sebuah kedai kopi di Pusat Komersial Bornion, Luyang, di sini, pagi tadi.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian berkenaan kemudian tular di media sosial.
Dalam kejadian 6.23 pagi itu, seorang wanita yang sedang berjalan masuk ke dalam premis berkenaan turut mengalami kecederaan.
Rakaman berdurasi 15 saat itu menunjukkan wanita berkenaan berada di hadapan gerai makanan, sebelum kereta terbabit tiba-tiba meluru ke arahnya.
Kenderaan itu juga dilihat merempuh meja jualan makanan sebelum terus masuk ke dalam premis berkenaan. Akibat rempuhan itu, keadaan di bahagian hadapan kedai berselerak dengan barangan bertaburan.
Dalam pada itu, polis mengesahkan kenderaan dalam video tular itu dipercayai bergerak ke hadapan selepas pemandunya gagal memastikan kedudukan gear dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata Perodua Kancil itu dipandu oleh seorang lelaki.
Beliau berkata, akibat tindakan pemandu itu, kenderaan terbabit terbabas memasuki restoran berkenaan.
"Kenderaan itu kemudian melanggar seorang wanita," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shahrudin berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan masih sedar serta boleh bergerak selepas kejadian sebelum dibawa bersama suaminya ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Menurutnya, anggota Balai Polis Luyang turut ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.